MJ12

MJ12

Wednesday, April 30, 2014

Pengalaman Di Rumah Lama Di Bukit Batok

Assalamua'laikum Abang KC & pendengar-pendengar MJ12,
 
Saya harap Abang KC dalam keadaan sihat & sejahtera. Nama saya Danish, dan saya adalah peminat setia MJ12. Saya seorang warga Singapura yang telah berpindah ke Gelang Patah, Johor. Pengalaman saya ini berlaku ketika saya tinggal di rumah kedua saya di Bukit Batok. Saya telah tinggal di Bukit Batok selama empat belas tahun, semenjak saya berusia tiga bulan.
 
Ia mula-mula berlaku ketika saya berusia sebelas tahun. Kami sekeluarga tidak merasakan apa-apa ketika tinggal di rumah itu sehingga adik saya mengalami sakit demam yang teruk. Suhu badannya sering naik sehingga hampir 40 darjah selsius walaupun kami telah menghantarnya berjumpa dengan doktor. Bukan saja demam tinggi, malah adik saya sering mengigau dan akan berjalan dalam tidur. Wajahnya seakan-akan seperti seekor monyet. Adik saya tidak akan berdiri dengan tegap dan akan menunjukkan giginya. Tetapi, kami sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa. Beberapa hari setelah adik saya mengalami sakit demam, satu-persatu anggota keluarga saya termasuk saya akan jatuh sakit secara selang-seli. Setiap bulan pasti ada orang di dalam rumah akan mengalami sakit demam ataupun cirit-birit, sakit kepala yang teruk & sebagainya. Tetapi, keadaan adik saya yang paling teruk.
 
Saya juga sering merasakan bahawa ada seseorang yang akan memandang dan melihat saya dari belakang walaupun saya tahu, di belakang saya, tidak ada orang pun. Saya juga tidak berasa tenteram jika saya terjaga pada waktu malam ataupun ketika saya sedang mendengar MJ12. Kadangkala, kami akan berasa panas di rumah & kadangkala, barang akan hilang dan hanya akan dijumpai di tempat yang telah kami cari setelah ibu saya berleter. Nasi dan lauk-pauk juga senang basi, walaupun kami akan panaskan pada waktu pagi sebelum ke sekolah. Kami berasa aneh kerana sebelum ini, tidak pernah kejadian-kejadian ini berlaku.
 
Akhirnya, ketika saya berusia empat belas tahun, kami pun meminta tolong daripada seorang ustaz di Woodlands. Ustaz itu menyuruh saya dan adik saya menulis nama penuh, alamat dan nombor kad pengenalan. Ustaz itu menggunakan sesuatu yang berbentuk berlian akan membaca dan memegang benda itu ke arah kertas itu. Tiba-tiba, benda itu bergoyang-goyang apabila ustaz itu memegang benda itu ke arah alamat yang ditulis. Ustaz itu pun mengatakan bahawa ada sesuatu makhluk atau lembaga yang telah menetap dengan kami selama tiga tahun tanpa kami sedari. Semua yang berlaku selama tiga tahun itu adalah kerana angkara benda itu. Ustaz itu pun mengatakan bahawa benda itu telah duduk di bilik yang ada komputer. Saya terkejut kerana bilik yang ada komputer itu adalah bilik yang telah saya kongsi bersama adik saya. Setelah itu, barulah ibu dan adik saya ceritakan pengalaman mereka di rumah.
 
Ibu saya kadangkala akan tidur di bilik saya setelah pulang dari tempat tugas dan akan tidur sehingga ayah saya pulang pada sekitar jam 8 malam kerana berasa terlalu penat. Dia menceritakan bahawa dia merasakan kakinya disentuh beberapa kali, tetapi saya dan adik saya tidak berada dalam bilik. Adik saya pula menceritakan bahawa dia pernah ternampak sesuatu di bawah katil ketika bersolat jemaah dengan saya dan ayah dan semenjak itu, dia tidak mahu berdiri dekat dengan katil.
 
Tetapi, Alhamdulillah, dengan pertolongan ustaz itu, semuanya telah beransur pulih. Setelah sebulan dirawat, kami pun berpindah ke rumah yang baru di Jurong sebelum berpindah ke Johor.
 
Terima Kasih.
 
Yang Ikhlas,
Danish
 
TERIMA KASIH DANISH!!!

Kisah Orang Sebelah



Assalamualaikum DJ KC dan para pendengar Mister Jam 12, 

Saya Bobby dari Skudai, Johor Bahru. Saya ada sebuah cerita ringkas yang ingin dikongsi dengan KC dan para pendengar, walaupun kisah ini bukan saya yang alami tapi bagi saya, cubalah bayangkan kalau kita yang kena.

Kisah ini diceritakan oleh rakan saya ketika kami sedang menetap di asrama sekolah di Port Dickson. Memandangkan kami duduk di asrama, cerita hantu sajalah yang menjadi penglipur lara kami. Pada masa itu kami sedang bercerita tentang hantu, sedang kami bercerita seorang kawan saya mencelah dan menceritakan tentang cerita seram di salah sebuah asrama sekolah di Malaysia. Ceritanya berbunyi begini…

Ada sebuah asrama ni, pada minggu pelajar balik kampung, ada beberapa orang saja yang tinggal di dalam blok. Adalah seorang hamba Allah ni, yang tiada rezeki untuk balik ke kampung halaman, tinggal di dalam bilik/dorm seorang diri.

Dipendekkan cerita, pada malam kejadian, si hamba Allah ni sedang menggosok bajunya, tiba–tiba, pintu biliknya diketuk. Dia bertanya, "Siapa tu???” Kedengaran jawapannya, "Orang sebelah...” Si hamba Allah menjawab, "Sekejap ye...”

Jadi, si hamba Allah ni tertanya-tanya, “Eh, bilik sebelah ni ada yang tak balik ke???” Namun dia hanya anggap tiada apa-apa yang berlaku. Sedang dia tertanya-tanya, pintunya diketuk lagi dan dia bertanyakan siapa yang mengetuk, maka dijawabnya lagi, “orang sebelah”. Dan si hamba Allah ni menjawab “Kejap ye, tengah gosok baju...”

Selepas selesai menggosok baju, si hamba Allah ni terlelap dan terlupa pasal orang sebelah tadi. Dalam beberapa jam dia terlelap, dia terbangun kerana pintu biliknya diketuk. Si hamba Allah ni tanya dalam keadaan separuh sedar.

HAMBA ALLAH: Siapa tu???
YANG MENGETUK:  Orang sebelah...

Barulah dia ingat yang tadi ada orang memanggilnya. Lantas dia pun terus membuka pintu dan dia amatlah terperanjat bahawa orang yang mengetuk pintu tadi betul-betul “ORANG SEBELAH” (SEPARUH BADAN SAHAJA!!!).

Itu sahaja dari saya. Assalamualaikum.

Wa'alaikumussalam. Terima kasih Bobby!!!

La-O-Be



Assalammualaikum KC, 
 
Kak Sherry hendak berkongsi cerita seram berlaku sekitar tahun 80an. Masa itu kakak sekeluarga tinggal di rumah sewa di Aljunied Chap Lau. Tempat ni kalau beritahu pemandu teksi memang mereka tahu. Waktu itu kakak baru berusia sekitar 11 -12 tahun. Kami sekeluarga tinggal di tingkat 16 sebelah tangga hujung, sederet di hujung lagi satu ada sebuah keluarga, bapanya bernama Pak Atan. 
 
Rumahnya pada setiap malam ada saja tamu yang datang, saya hanya tahu dari orang2 tua yang bercakap bahawa Pak Atan ni bomoh, tapi dia bomoh baik, ubat2kan orang yang terkena sihir atau rasuk dan yang lain2. Pak Atan ada dua anak gadis dewasa, cantik2 kakak2 tu lagi2 Kak Maniseh, selalu saja tegur dan senyum2 dengan kami kalau terserempak. Kalau saya pulang rumah saya ada dua pilihan dari tingkat 14 lif henti saya terus pulang naik tangga hujung rumah saya atau naik tangga tengah dan lalu depan rumah Pak Atan. Saya selalu naik tangga tengah, kalau pulang malam selepas ngaji pun selalu bersama adik2 dan kawan2 jalan naik tangga tengah. Kadangkala kalau lalu rumah Pak Atan kami akan kedengaran lagu La-O-Be dari pita kaset dan akan kedengaran suara Kak Maniseh menyanyi, di biliknya yang menghadap koridor. Kadang2 budak2 nakal ni akan mengintai Kak Maniseh nyanyi sambil berjoget-joget. Tahu2lah dulu tingkap rumah jenis besi yang mudah diumpil dari luar.

Ceritanya begini, satu hari tu kecoh dibuatnya pada waktu malam. Kak Maniseh terpekik2, dia koyak2kan bajunya dan rebangkan rambutnya, diri di depan rumahnya dan mengilai. Kami jiran tetangga semua keluar dan menyaksikannya. Pak Atan ambil kain dan baca2 (saya tak tahu apa yang dibacanya), dia serkupkan kain itu pada Kak Maniseh, dan dia terus rebah. Itulah kali terakhir kami nampak Kak Maniseh di luar rumah. Mulalah kami dengar cerita dari ibu bapa dan makcik pakcik jiran tertangga bahawa Kak Maniseh terkena buatan orang akibat dendam bomoh lain pada Pak Atan yang selalu rawat mangsa bomoh itu. 
 
Kadang2 bila lalu rumah Pak Atan kami dengar suara Kak Maniseh menangis, meratap, mengilai dan kadangkala bertutur dengan suara yang garau. Kadang2 bila lalu, kami terperanjat Kak Maniseh akan menerjah kami dengan suara yang garau dan kuat, "Hoi!!! Budak2 sini!!!" dengan tangannya cuba hendak menangkap kami dari tingkapnya. Kami jadi takut. Satu ketika, kami pulang malam selepas mengaji, kami degil, ibu bapa kata jangan lalu sana lagi, tapi kami ni nakal nak tahu. Lagu "La-O-Be" tu diputarkan, kawan saya Enon berkata, "Ehh nak tengok tak Kak Maniseh sedang buat apa, joget2 tak agaknya dah sembuh..." 
 
Kami berhenti di luar koridor bilik Kak Maniseh, Tiba2 kami terdengar suara orang menyanyi lagu itu tapi suaranya garau dan seram. Saya dah mula takut, saya ajak adik2 pulang, tapi kawan saya Enon ni nak lihat jugak. Enon pun mengintai tapi terpekik bila Kak Maniseh yang ada di tingkap mencekik leher Enon, Kami semua turut pekik. Pak Atan datang dan menarik Kak Maniseh dari mencekik kawan saya. Pak Atan minta maaf pada ibu bapa Enon, dan mulai hari itu Kak Maniseh diikat. Kami akan tetap dengar Kak Maniseh menangis, mengilai dan menyanyi lagu kegemarannya. 
 
Lama Kak Maniseh sakit hingga satu hari saya pulang rumah dan lihat ramai orang dan jiran dan ibu saya pergi ke rumah Pak Atan. Pulangnya ibu, memberitahu bahawa Kak Maniseh dah meninggal dunia. Dia dibuat orang hingga meninggal dan bapanya Pak Atan seorang bomoh pun tak dapat membantu anaknya. Beberapa bulan kemudian Pak Atan dan keluarganya pindah keluar, kami tak diberitahu ke mana dia pindah. Tapi semenjak rumah itu kosong kadang2 seperti kedengaran suara Kak Maniseh menyanyi lagu La-O-Be dengan suara yang garau seram (tidak serancak lagu aslinya. Perlahan dan menakutkan). 
 
Satu hari budak2 nakal lempar guli dalam rumah kosong itu, Guli itu dilempar keluar semula, Terpekik2 budak2 tu, bapa saya keluar dan marah mereka suruh pulang. Selepas itu ada juga keluarga yang pindah ke rumah itu tapi tak lama mereka keluar. Bila bapa saya dapat rumah kami pun berpindah dan tak tahu pun apa terjadi pada rumah itu. Tapi yang saya fobia selalu ialah lagu "La-O-Be" hingga saat ini.
 
TERIMA KASIH KAK SHERRY!!!

Lelaman Blog Rasmi Misteri Jam 12™

Lelaman ini merupakan lelaman blog rasmi Misteri Jam 12™ kelolaan DJ KC™ di RIA 89.7FM. Semoga para pendengar akan sentiasa mengunjungi lelaman ini dari masa ke semasa untuk membaca dan menghayati kisah-kisah, melihat gambar-gambar, mendengar klip-klip audio dan menonton klip-klip video misteri yang diketengahkan dalam rancangan Misteri Jam 12™...

DISCLAIMER!!!

Kisah-kisah yang diketengahkan di dalam rancangan Misteri Jam 12 dan juga di dalam blog rasmi ini, anggaplah ia sebagai satu hiburan. Tidak ada sebarang bukti yang boleh mengesahkan kebenarannya. Jangan mudah percaya dan jangan terlalu taksub dengan apa yang kami ketengahkan kerana apa yang disampaikan adalah pengalaman individu-individu yang berbeza-beza dan mungkin ditokok-tambah...

HARAP MAKLUM!!!

Misteri Jam 12™ bersama DJ KC™

Sekiranya anda minat dengan dunia mistik dan makhluk halus anda harus mendengar MISTERI JAM 12™ bersama DJ KC™ di RIA 89.7FM setiap hari ISnin hingga Jumaat jam 12 tengah malam!!!
SMS pendapat / kisah-kisah anda di RIA 89.7FM:
Taip "klub" jarak, "kisah / pendapat anda" jarak, "nama anda" dan hantarkan ke 72346
Setiap SMS berharga 30sen. Khidmat ini dibawakan untuk anda oleh Mediacorp Pte Ltd

Ataupun berkongsi secara live menerusi nombor hotline 66911897.

Sekiranya anda mempunyai kisah-kisah yang panjang atau gambar-gambar misteri, sila emel kepada KC dimisterijam12@gmail.com.
Kisah-kisah dalam blog ini dan yang anda dengar di Ria 89.7FM dalam rancangan Misteri Jam 12™,
tidak ada sesiapa yang boleh mengesahkan kebenarannya...

Saka Nenek Masih Mengganggu



Assalamualaikum Wr Wb kepada DJ bertugas, 

Nama saya Ellah. Memang banyak kisah hantu dan misteri kalau nak diikutkan, tapi saya akan cerita pengalaman yang pertama bila saya diberitahu bahawa saya didampingi sesuatu. Kisahnya begini.

Beberapa tahun lepas, saya telah pergi bercuti ke salah sebuah pulau di Asia Tenggara ini dengan tiga orang teman saya. Semasa berada di sana, ada juga perkara yang aneh dan pelik berlaku tapi, kami tidak hiraukan sangat. Maklumlah, "benda-benda" ni di merata tempat, dalam dan luar negeri jadi tak payahlah nak dikhuatirkan sangat. Saya mengaku, sebelum perkara ini, saya ni memang tak berani tapi saya juga tak kuasa dengan perkara pelik ini semua. Pada saya, mereka wujud; hanya mereka ghaib. Dan benda-benda yang ghaib ni, tak usahlah kita fikirkan melebih-lebih. Jadi sepulangnya saya dan rakan-rakan ke Singapura, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Seperti saya sering merasakan bahawa saya diekori seseorang, atau lebih tepat lagi sesuatu. Dah namanya ghaib, saya pusing lihat kiri, kanan, depan dan belakang, memanglah tak nampak apa-apa. Tapi rasa seram itu masih ada. 
 
Satu hari, dengan izin Allah, saya bertemu dengan seorang pakar kerana saya pernah meluahkan hasrat kepada seorang rakan saya tentang perasaan yang tak enak ini. Alhamdulillah, saya berkenalan dengan pakar ini (Pakar A) dan pergi berkonsultasi dengannya. Alangkah terperanjatnya saya bila dia keluarkan sesuatu dari badan saya dan pindahkan ke badan seorang pakar lagi satu (Pakar B) untuk soal-siasat. Kenangkan balik, perasaan takut dan gementar ada dalam hati kerana dalam kepala saya, saya bertanya: "Apa benda ni?? Ni buat-buat ke betul?" Saya begitu sangsi dan ragu-ragu. Seperti mana saya katakan awal tadi, saya memang tak kuasa dengan benda macam ini. Suka dengar cerita-cerita hantu bila kawan-kawan berkongsi dan ada juga ikut kawan kawan yang lain pergi "adventure". Tetapi setakat itu sahaja. 

Balik kepada cerita, saya disuruh tanya soalan kepada jin ini yang sedang berada dalam jasad Pakar B. Jadi saya tanyalah, kenapa dia ada dalam badan saya, apa dia nak, dan lain-lain soalan umum. Oh, sebelum saya lupa, sebelum dimasukkan jin kepada badan pakar B ini, pakar B memang orang yang badannya tegap dan segak tetapi setelah jin itu masuk ke dalam tubuh Pakar B, Pakar B terus menjadi lemah longlai dan seperti orang tua. Saya rasa pakar A tu tak sabar dengan saya lalu dia bertanya kepada jin. Siapakah dia dan siapa menghantarnya. Apa urusan dia dengan saya. 

Alangkah terperanjatnya apabila Jin tu menjawab bahawa dia adalah saka dari arwah nenek saya. Dipendekkan cerita, setelah mendapat tahu tentang hal ini, saya ada menyelidik latar belakang keluarga saya kerana saya diberitahu bahawa saka ni sebenarnya jin yang turun-temurun oleh ahli keluarga. Wallahua'lam. Rupa-rupanya, bukan ada satu sahaja tetapi ada dalam kurang lebih tiga jin dalam badan saya ketika itu. 

Perkara ini buat saya runsing, buat saya terfikir. Mungkin sebab itu, saya dapat merasakan kehadiran makhluk ghaib terutama sekali bila saya sendiri, saya akan menangis teresak-esak kadang-kadang dengan tanpa sebab, saya akan mendapat mimpi-mimpi pelik. Apabila saya membaca tentang tanda-tanda orang yang di dalam badannya ada Jin, saya terperanjat dan rasa cuak. 

Sampai ke hari ini, saya dimaklumkan bahawa saka arwah nenek masih ada dengan saya dan akan sering mengganggu saya kalau saya tidak memberi kata putus yang saya akan pelihara saka ini. Saya dah tekad. Saya tak akan pernah ambil benda ni. Sepertimana yang diberi kepada nenek saya dahulu tanpa pengetahuan nya, dan seperti mana dia mengganggu nenek semasa nenek masih hidup kerana nenek juga tidak mahukannya, begitulah yang akan saya lakukan dan lalui. 

Dalam mimpi, banyak kali "dia" menjelma. Saya tahu itu dia kerana dia marah-marah dengan saya dan dia juga pernah memberi amaran yang dia akan tetap membuat kacau-bilau dalam kehidupan saya. Tapi saya tak hiraukan. 

Memang saya tak salahkan semua yang mendengar termasuk KC (atau DJ yang tertugas) kalau rasa cerita saya ni dongeng. Saya sendiri rasakan benda ni dongeng, tapi, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Tapi yang sememangnya benar, tetap akan jadi benar dan yang bathil itu pasti suatu hari akan musnah. Yang penting, hati ingat pada pencipta kita dan dengan izinnya juga, hidup kita lebih diberkati. Amin, InsyaAllah. 

Selamat malam dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk mengetengahkan cerita saya ini. 

TERIMA KASIH ELLAH!!!